Main course page
  • TOPIK 9: Cabaran Kelestarian Etika dan Peradaban di Malaysia

    1. HASIL PEMBELAJARAN
    2. Menjelaskan kelestarian etika dan peradaban dalam kepelbagaian masyarakat dan negara bangsa.
    3. Menghuraikan etika dan peradaban Malaysia dalam konteks pengalaman negara dan perspektif antarabangsa.
    4. Menganalisis matlamat pembangunan lestari dan kesejahteraan bersama.


    9.1 PENGENALAN

    Era Revolusi Industri Ke-4 (IR4.0) menyaksikan perubahan drastik dalam kehidupan masyarakat lokal dan global. Cabaran IR4.0 telah memberikan impak yang besar dalam aspek ekonomi, politik dan sosial masyarakat. Namun, jika diteliti secara mendalam dalam konteks realiti sosial masyarakat sejagat, ia terbahagi kepada dua perspektif utama.

    IR4.0

    Pertama, realiti sosial yang ditentukan oleh pihak berkuasa yang secara praktisnya berciri dari atas ke bawah (top-downatau disebut juga sebagai takrifan autoriti. 

    Kedua, realiti sosial yang lebih terbuka iaitu ditentukan oleh setiap individu, keluarga dan komuniti demi keperluan seharian masing-masing atau diistilahkan juga sebagai takrifan harian.

    Dalam kedua-dua konteks realiti sosial ini, etika dan peradaban mempunyai pengaruh yang besar. Sebagai contoh, adat istiadat yang diamalkan dalam masyarakat adalah termasuk dalam kategori takrifan autoriti kerana wujud peraturan bertulis menentukan susunan adat istiadat yang perlu dilaksanakan. Sebaliknya, adat resam masyarakat ditentukan oleh perilaku kebiasaan seharian berasaskan takrifan harian tanpa apa-apa peraturan bertulis. Dalam konteks yang formal seperti adat istiadat, wujud protokol yang telah ditentukan untuk dipatuhi.

    Apabila ianya melibatkan peringkat yang lebih tinggi dan formal seperti peringkat negara dan antarabangsa, prosedur dan protokolnya semakin ketat dan terperinci, termasuk keperluan berpakaian rasmi.

    Ini memerlukan tanggungjawab sosial dan kesedaran nasional yang lebih tinggi dan formal. Dalam konteks tidak formal, walaupun tiada peraturan tetapi wujud tanggungjawab sosial dalam bentuk adab dan nilai hormat-menghormati yang menjadi panduan perilaku individu. Perihal amalan dapat dilihat secara jelas dalam aktiviti sosial masyarakat seumpama majlis kenduri kahwin, kenduri kematian, upacara meminang dan acara sambutan dalam tradisi masyarakat.

    Etika dan peradaban adalah perilaku tanggungjawab sosial yang lahir daripada kesedaran sosial dan digerakkan pada peringkat individu, keluarga, masyarakat, dan negara yang bertujuan mencapai keharmonian, kesepaduan dan kesaksamaan dalam masyarakat.

    9.2 KELESTARIAN ETIKA DAN PERADABAN MALAYSIA

    Etika dan peradaban sepanjang sejarah tamadun manusia adalah berciri dinamik, sentiasa mengukuh, berubah-ubah dan tidak kekal. Tekad dan usaha memahami dan menghayati bentuk-bentuk etika serta peradaban ini termasuk inisiatif mengemukakan penjelasan berdasarkan kerangka yang tepat secara kritis, analitikal, saintifik dan merupakan tugas penting komuniti terpelajar.

    Etika dan peradaban Malaysia telah berkembang dari tapak peradaban alam Melayu dengan kewatanan Melayu dan bumiputera sebagai terasnya. Tapak peradaban peribumi ini telah bergaul dengan ketamadunan majmuk melalui gelanggang Selat Melaka sebagai pertemuan sedunia dari China, India, Timur Tengah dan Barat dalam membina negara bangsa dan ketamadunan acuan Malaysia pada hari ini.

    Bertitik tolak daripada kerangka peradaban majmuk, Malaysia membina etika dan peradaban beracuan sendiri dengan menyulam kepelbagaian etika dan peradaban dalam melahirkan sebuah negara dan ketamadunan yang damai, stabil, maju dan kesejahtera Obama, mantan Presiden Amerika Syarikat mempotretkan Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat Islam yang moderat, maju dan terkini (Awani, 2015). Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan pula menyatakan bahawa Malaysia mempunyai masyarakat yang beradab dan bertamadun (Bernama, 2020).

    Oleh kerana usaha membina ketamadunan bukan suatu perkara mudah dan dijamin berkekalan, maka masyarakat kontemporari perlu mengambil iktibar daripada sejarah lampau. Sejarah pasti berulang bagi mereka yang tidak mengkaji, mengambil iktibar dan menjadikannya sebagai panduan hidup bagi merancang masa hadapan.

    Pengalaman peradaban dalam konteks global dari zaman purba hingga sejarah kontemporari menunjukkan kedinamikan berlaku dan tiada satu pun peradaban kekal dan berterusan. Ini termasuklah peradaban Mesopotamia, Mesir, Indus, China, Incas, Maya hingga Inggeris dan Amerika Syarikat pada hari ini. Sebab dan akibat kejatuhan sesebuah ketamadunan adalah kompleks tetapi dicelah keruntuhan sistem kehidupan dan keagungan material yang tercapai muncul dan meluasnya keruntuhan nilai masyarakat yang terangkum di dalamnya pelbagai konsep seperti etika, moral, adab dan akhlak. Teras utama kepada kerangka sistem nilai dan etika ini adalah keadilan. Jika kezaliman  mengambil tempat keadilan dan kesaksamaan, natijahnya kekejaman dan penganiayaan akan membawa kehancuran masyarakat sekali gus meruntuhkan sistem nilai kemanusiaan. Akhirnya, peradaban akan ranap dan runtuh tanpa nisan.

    Dalam suasana kedinamikan etika dan peradaban ini, maka masyarakat harus sentiasa prihatin dan secara sedar merancang serta melaksanakan pembaharuan institusi (institutional reform) secara sistematik dan mendasar. Inisiatif ini amat signifikan bagi memastikan sistem nilai dan etika mendarah daging dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia demi memastikan peradaban Malaysia terus unggul.

    Etika dan peradaban di alam Melayu dan timur dari China, India dan Timur Tengah adalah berteraskan nilai. Nilai-nilai utama yang menjadi adab dalam kehidupan bermasyarakat termasuklah nilai tanggungjawab, keprihatinan, amanah, bertolak ansur, kedamaian, keadilan, kebaikan, disiplin, kerajinan, muafakat dan kemajuan. Setiap peradaban membangunkan ciri adab, adat, adat resam dan adat istiadat berdasarkan nilai-nilai ini sesuai dengan persekitaran geografi, ekonomi, sosiobudaya dan politik setempat.

    Impak signifikan kedatangan penjajah Barat melalui proses kolonisasi membawa dimensi baharu etika dan peradaban yang bersifat kontradiksi dengan pemikiran serta amalan masyarakat setempat Perihal ini terangkum dalam konsep agama dipisah dari politik, pemikiran logik rasional dan keutamaan mendapat habuan serta keuntungan menjadi matlamat individu. Kekuatan setiap peradaban ini telah disulam secara unik ke dalam peradaban Malaysia dengan etika dan peradaban Melayu sebagai terasnya.

    9.3 KEDINAMIKAN ETIKA DAN PERADABAN MALAYSIA

    Setiap peradaban memiliki ciri-ciri terbuka kepada kemajmukan dan penerimaan pengaruh luar. Namun begitu, gelanggang pertemuan dan pergaulan sepanjang Selat Melaka, dari pelabuhan Palembang, Melaka hingga Kedah dan Acheh menunjukkan hubungan ini menguntungkan, produk tempatan ditukar dengan produk-produk dari China, India dan Barat.

    Wujud sekelompok individu dari kumpulan etnik pelbagai peradaban majmuk ini yang memilih untuk kekal menetap di Tanah Melayu dan selepas pengisytiharan kemerdekaan, golongan ini menjadi sebahagian rakyat merdeka di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Sejarah sosial dari zaman pra, kolonial hingga di peringkat awal pascakolonial, masyarakat plural di Tanah Melayu merupakan bentuk utama masyarakat di negara ini; berlaku ketidakseimbangan sosial dan kehidupan yang terpisah dan terasing oleh perbezaan etnik, bahasa, budaya, agama, pekerjaan dan tempat tinggal.

    Rusuhan etnik 13 Mei 1969 dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada dekad 1970-an telah berjaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat sehingga pembangunan, migrasi dalaman dan perubahan teknologi telah mencetus perubahan sosial. Perubahan sosial telah menjadikan pekerjaan sara diri bertani berkembang kepada ciri komersial-industrial, golongan miskin menjadi kelas menengah dan kehidupan kampung menjadi kosmopolitan.

    Perubahan sosial ini menandakan bahawa negara sudah berubah dari sebuah negara mundur kepada negara maju. Perubahan sosial ini juga telah mentransformasi masyarakat daripada memiliki budaya tradisional kepada budaya kemodenan yang mengutamakan keadilan, keterangkuman, demokrasi, kesepaduan sosial, menolak keganasan dan ketidakstabilan politik. Budaya kemodenan ini telah mengurangkan salah faham, ketegangan sosial dan pergaduhan dalam pelbagai kumpulan etnik di Malaysia.

    Dewasa ini, kita menyaksikan bahawa batas etnik di antara kumpulan etnik di Malaysia tidak tebal perbezaannya. Hal ini adalah kerana hubungan di antara pelbagai golongan terjalin dalam suasana kesepaduan, diikat oleh nilai sivik sejagat seperti keadilan dan kebajikan. Keterangkuman ini juga tidak lagi meletakkan perbezaan etnik sebagai faktor primer dalam penentuan sikap dan matlamat kehidupan bermasyarakat.

    Justeru, etika dan peradaban yang dihayati rakyat Malaysia, asalnya majmuk, telah membina perkongsian nilai hidup bersama sehingga pendapat awam difahami sama bukan berbeza. Bahkan hubungan di antara pelbagai peringkat masyarakat diperhatikan telah merentas batas etnik dan membina hubungan berdasarkan perkiraan matlamat kehidupan sosial. Natijah penting adalah rakyat Malaysia sudah mampu menerima, berkongsi dan meraikan perbezaan etnik di antara mereka sehingga menyubur kesedaran kolektif bersama etos bangsa Malaysia sebagai jati diri mereka.


    9.4 DASAR EKONOMI BARU (DEB) PEMANGKIN KEMISKINAN BERSAMA TETAPI GAGAL MEMBAWA KEMAKMURAN BERSAMA.

    Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah dasar awam yang berjaya membasmi kemiskinan dari tahun 1970-an dan menyusun semula masyarakat daripada segi pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan kediaman hingga lahir budaya kelas menengah dalam negara merentas etnik.

    Namun begitu, DEB sebagai pemangkin perubahan kemiskinan bersama (shared poverty) dalam tahun 1970-an hingga tahun 2010-an berdasarkan data pengagihan pendapatan, pemilikan harta, ekuiti saham korporat dan pekali ini mengikut bandar, luar bandar dan etnik menunjukkan Malaysia tidak mampu mempertahankan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi dengan baik sehinggakan golongan kelas menengah kurang berkembang tetapi golongan B40 yang semakin meningkat. Kegagalan mengagihkan kekayaan negara ini akan melahirkan keresahan ekonomi dan politik dalam kalangan masyarakat.

    Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) telah berusaha menampilkan model ekonomi baharu tetapi dipengaruhi oleh pendekatan kumpulan negara-negara sedang membangun BRIC (Brazil, Rusia, India dan China) yang mementingkan pendapatan per kapita tinggi tanpa memberi tumpuan yang wajar kepada kumpulan B40, miskin dan terpinggir dalam masyarakat. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat telah memilih kerajaan baharu agar kemakmuran bersama yang menjadi matlamat pembangunan negara yang mendahulukan kebajikan rakyat dapat direalisasikan.


    9.5 HAKISAN SOSIAL KE ATAS KELESTARIAN ETIKA DAN PERADABAN.

    Hakisan sosial ke atas kelestarian etika dan peradaban Malaysia semakin serius sejak tahun 2000 dan mencapai kemuncak pada tahun 2018. Situasi ini dapat dilihat dengan wujud insiden-insiden signifikan membuktikan terhakisnya budaya keadilan, integriti, tolak ansur, kesepaduan dan demokrasi dalam negara. Sebagai contoh, isu-isu yang ditimbulkan oleh golongan rakyat menunjukkan bahawa mereka bersuara dengan harapan penambahbaikan berlaku dalam organisasi pemerintah. Selain itu, kepantasan hakisan sosial yang dipacu pula dengan tsunami maklumat palsu yang berniat membakar sentimen etnik dan agama di dunia digital tanpa etika dan kesannya dirasai menjarah keharmonian dan kestabilan negara. Hakisan sosial ke atas kelestarian etika dan peradaban negara akan ditinjau dari aspek-aspek di bawah:

    1. Defisit sosial

    Dalam konteks pembangunan negara secara umum, wujud golongan miskin tanpa mengira etnik di bandar dan luar bandar, dalam sektor pertanian sara diri dan estet. Terdapat juga negeri-negeri yang masih terperangkap dengan kemiskinan sehingga peluang dan akses kepada pendidikan dan kesihatan masih lagi terhad dan pada tahap amat rendah. Manakala dalam konteks pembinaan negara bangsa, isu-isu berkaitan etnik, bahasa, budaya, agama, kekeluargaan, raja, Perlembagaan Persekutuan, Undang- Undang Tubuh Negeri, sejarah dan identiti negara masih lagi memerlukan inisiatif pencerahan berterusan agar warganegara Malaysia menghayati kepentingan menjulang kesepaduan sosial dalam masyarakat.


    2. Tadbir urus dan pembangunan

    Dalam konteks tadbir urus dan governan negara, segala unsur yang boleh merosakkan etika dan peradaban rakyat dari dalam harus dibasmi secara serius. Isu-isu seumpama ini akan menggugat keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman dalam agihan kekayaan negara kepada golongan yang amat memerlukan.

    Perihal ini juga termasuklah kegagalan mengurus golongan B40 secara efektif, peranan media sosial yang cenderung menyebarkan hasutan terhadap etnik dan agama serta kelancangan segolongan individu mempersoalkan peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

    3. Ekonomi gelap (black economy) dan rasuah

    Cabaran moden dalam ekonomi terlalu parah. Isu-isu strategik nasional dan antarabangsa seumpama pemerdagangan manusia, kewujudan pekerja asing tanpa dokumen, pelacuran, judi, dadah, pembalakan, kerosakan alam sekitar seperti hutan dan sungai semakin hari semakin serius. Manusia sosial yang mengurus alam tanpa nilai akan merosakkan sumber-sumber alam anugerah Tuhan. Akibat yang paling serius adalah berleluasanya salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan penjawat awam dan golongan yang berautoriti (Berita Harian, 2020).


    9.6 KELANGSUNGAN KELESTARIAN ETIKA DAN PERADABAN BAGI PEMBANGUNAN NEGARA BANGSA DAN KETAMADUNAN MALAYSIA

    Kelangsungan kelestarian etika dan peradaban Malaysia tertakluk kepada pembinaan negara bangsa yang tersimpul dalam membina bangsa Malaysia berasaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta tadbir urus dan pembangunan negara dengan adil dan terangkum. Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan defisit sosial dan sekali gus mengukuhkan keterikatan kolektif merentas etnik dan negeri sehingga terbina kesepaduan nasional. Pembinaan negara bangsa yang meraikan faktor sejarah dan warisan simbol-etno negara akan melahirkan keharmonian dan kestabilan. Manakala tadbir urus baik dan pembangunan akan mengukuhkan kualiti hidup dan kesepaduan nasional rakyat.

    Kegagalan mengurus kedua-dua aspek ini akan meminggir dan mengabaikan kehidupan rakyat. Dalam konteks masyarakat majmuk, dimensi etnik dan agama akan digemblengkan untuk mempertahankan kepentingan masing-masing. Hubungan etnik yang harmoni barangkali boleh berubah sekelip mata menjadi tegang dan berkesudahan dengan konflik. Perkara ini akan dihuraikan di bawah berdasarkan aspek berikut:

        • Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke- 12 dan matlamat pembangunan lestari. 
    Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah suatu wawasan yang dibangunkan mengambil kira ketidakseimbangan sosioekonomi negara berdasarkan keperluan pelbagai peringkat masyarakat termasuk rakyat kalangan Melayu dan bumiputera yang tinggal di luar bandar semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pendekatan pembangunan ekonomi model Brazil, Rusia, India dan China yang menguntung pemilik ekuiti korporat asing dan golongan T20 Malaysia masih diteruskan tetapi harus diimbangi dengan kesedaran golongan B40 yang tidak bersuara dan kuasa sering dipinggirkan kepada peluang dan akses kepada sumber material negara. Penggubalan RMK-12 seharusnya mengutamakan pembangunan dengan pengagihan demi memastikan rakyat diutamakan sehingga peningkatan kualiti hidup yang baik akan membina budaya moden dan disulami dengan nilai norma sejagat. Keterlestarian etika dan peradaban Malaysia yang berpaksikan sistem nilai dan etika yang mengutamakan kesepaduan nasional dan perpaduan dalam negara pasti akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan damai lantas kelangsungan pembangunan pasti akan berlaku. Hasilnya, masyarakat akan berkongsi nilai bersama keadilan, keterangkuman, keadilan, tolak ansur, bertanggungjawab dan prihatin dengan keperluan kebajikan sesama mereka.

        • Kesepaduan nasional dan perpaduan negara.
    Tadbir urus dan pembangunan yang baik akan membina kesepaduan nasional sehingga wujudnya elemen-elemen pengukuhan kepada perpaduan negara. Etika dan adab seperti amanah, bertanggungjawab, prihatin dengan kebajikan dan bertolak ansur pasti akan mendorong masyarakat untuk hidup aman, damai dan harmoni bersama. Kegagalan melaksanakan pembangunan dan tadbir urus dengan adil sehingga melebarnya jurang kaya-miskin, bandar-desa dan kumpulan etnik-agama akan mewujudkan impak berganda dengan bertambahnya peratus golongan miskin dan terpinggir. Dalam masa yang sama, akan mengakibatkan lahirnya kumpulan pembangkang yang renggang dengan kerajaan dan mengambil pendirian menolak dasar-dasar kerajaan. Etika dan adab terhadap negara akan tercalar melalui tanggapan buruk yang tersebar dalam dunia digital termasuk berita-berita palsu yang memburukkan pemimpin dan parti pemerintah. Tambahan pula, propaganda politik semasa ditularkan tanpa mengambil kira sensitiviti terhadap rakyat dari pelbagai etnik dan agama. Dalam suasana sosial sedemikian, kepimpinan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) akan merebut peluang memanipulasi dimensi etnik dan agama demi meluaskan pengaruh serta mendapat sokongan dan undi rakyat. Dengan kualiti hidup dan ekonomi yang tidak terjamin pasti akan berterusan kegelisahan dan ketegangan sosial dalam masyarakat, jika tidak ditangani segera akan melahirkan perpecahan, ketidakstabilan politik dan membantut pembangunan negara.

        • Perkongsian pengalaman etika dan peradaban Malaysia demi keharmonian, kestabilan dan Kemajuan ketamadunan sejagat.

    Malaysia adalah sebuah pascakolonial negara tamu dan menerima pelbagai peradaban majmuk dan anggotanya menjadi warganegara. Pertemuan dan pergaulan peradaban majmuk ini telah memperkayakan peradaban kewatanan Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak melalui proses difusi dengan meminjam budaya, pemakanan, bahasa dan budaya kerja di antara mereka. Pengalaman Malaysia, menunjukkan pembangunan setinggi mana kadar pertumbuhan ekonomi jika pengagihan dan kesejahteraan rakyat tidak dijaga,  negara yang makmur dan kehidupan berkualiti tinggi tidak boleh menjamin kedamaian, kesepaduan, perpaduan dan kestabilan jika kekayaan hasil pembangunan hanya dinikmati oleh kumpulan yang bersuara dan berkuasa sahaja. Indeks Kualiti Hidup, Indeks Kesejahteraan Malaysia, Indeks Maqasid Malaysia, Indeks Perpaduan Nasional dan Indeks Kedamaian Global menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang makmur, damai dan sejahtera. Kejayaan Malaysia dalam mentadbir urus dan pembangunan negara dengan baik, adil dan terangkum adalah formula yang boleh dikongsi bersama dengan negara yang masih berhadapan dengan permusuhan dan konflik etnik dan agama.


    Malaysia sentiasa berpegang bahawa tadbir urus, pembangunan mapan dan kemajuan negara bangsa bukan matlamat akhir negara tetapi perpaduan merupakan matlamat akhir yang dihasratkan dan ingin dicapai bersama. Oleh itu, hasil kesepaduan nasional antara rakyat Malaysia akan melahirkan perpaduan yang diidamkan oleh bangsa. Kesepaduan ini tercapai melalu proses berterusan dan sistematik dalam mengurus defisit sosial melalui perbincangan, perundingan, dialog dan mediasi. Ia juga boleh dilakukan melalui perbincangan mengenai isu sekolah, agama, kerakyatan dalam Perlembagaan Persekutuan, isu tadbir urus kerajaan yang lemah dan meminggirkan etnik minoriti. Selain itu, medium ini dapat memberi peluang, akses dan kesampaian kepada pelaksanaan program pembangunan agar setiap rakyat mendapat manfaat dengan adil dan saksama.

    Dalam dunia digital kini, bukan sahaja tadbir urus dan pembangunan mesti baik tetapi kenyataan berbaur sensitif, cauvinis dan diskriminasi terhadap etnik dan agama lain perlu diuruskan dengan baik. Banyak negara di dunia tidak menjadikan kenyataan kebencian ebagai satu jenayah tetapi penular kenyataan kebencian ini dan dikukuhkan lagi dengan maklumat palsu pasti melahirkan salah faham, ketegangan sosial dan pergaduhan di dalam masyarakat.

    Pengalaman Malaysia perlu dikongsi secara meluas di peringkat negara-negara jiran, serantau dan sedunia dalam membina keharmonian, kestabilan dan kemajuan ketamadunan sejagat. Potensi pengupayaan personaliti manusia juga perlu digarap untuk melahirkan individu yang berdikari dan kaya dengan jati diri yang teguh. Peningkatan keupayaan individu akan mengukuh keupayaan keluarga, komuniti dan negara dan nilai-nilai etika dan peradaban sejagat.

    9.7 KESIMPULAN

    Kelestarian etika dan peradaban sejagat sentiasa tercabar dan terkesan oleh proses hakisan sosial yang berlaku secara beransur-ansur. Ini kerana perubahan dalam masyarakat berlaku dengan pantas dan sukar dikawal sama ada dari segi sosial, ekonomi, politik, alam sekitar, teknologi dan sebagainya. Kepesatan pembangunan ekonomi banyak membawa implikasi positif dalam peningkatan pendapatan negara dan kesejahteraan hidup masyarakat. Namun begitu, ketidakseimbangan yang berlaku dalam pembangunan negara membawa implikasi negatif terhadap persekitaran fizikal, alam sekitar dan kesihatan masyarakat.

    Pada dekad awal kemerdekaan berlakunya kemiskinan bersama. Namun, setelah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Malaysia telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik dan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan bersama yang merangkumi kesepaduan nasional. Perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan pembangunan langsung ekonomi telah membawa cabaran baharu ke arah pengekalan etika dan peradaban di Malaysia.

    Justeru, dalam konteks masa hadapan, masyarakat majmuk di Malaysia seharusnya mempunyai visi bersama ke arah mengukuhkan ikatan antara kaum dan agama bagi menyokong negara bangsa yang merdeka dan moden. Kerangka asas yang perlu menjadi panduan utama adalah sistem nilai, etika dan peradaban yang dipersetujui bersama, didukung dan dihayati dalam rutin kehidupan bermasyarakat. Melalui usaha yang sistematik berdasarkan pengukuhan tiang seri kesepaduan ini, masyarakat Malaysia akan mampu menjulang etika dan peradaban Malaysia sehingga mampu menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa.


    ikon penghayatan

    1. Pada pendapat anda, mengapakah rasuah berlaku? Bincangkan.
    2. Bincangkan kesan buruk akibat rasuah kepada sesebuah institusi dan negara.

    RUJUKAN

    Awani. (2015). KEMAS KINI: Lawatan Kedua Obama ke Malaysia: Apa yang Anda Perlu Tahu. https://www.astroawani.com/ ;berita-malaysia/kemas-kini-lawatan-kedua-obama-kemalaysia-apa-yang-anda-perlu-tahu-81647, diambil pada 28 Februari 2021.

    Bernama. (2020). Dr Mahathir Pemimpin Sebenar Dunia Islam: Imran Khan, https://www.sinarharian.com.my/article/68744/ ;BERITA/Nasional/Dr-Mahathir-pemimpin-sebenar-dunia- Islam-Imran-Khan, diambil pada 28 Februari 2021.

    Berita Harian. (2020). Rasuah Lebih Rancak Jika Pihak Atasan Terbabit. https://www.bharian.com.my/berita/ ;nasional/2020/10/740686/rasuah-lebih-rancak-jika-pihakatasan-terbabit, diambil pada 28 Februari 2021.

    Ören, T.I. (2002). (Invited Paper). In Search of a Value System forSustainable Civilization: Ethics and Quality. Special Focus Symposium (within InterSymp) on: Cognitive, Emotive and Ethical Aspects of Decision Making and Human Actions, August 1-2, Baden-Baden, Germany, pp. 69-72. https://www.researchgate.net/publication/254142726_In_Search_of_a_Value_System _for_Sustainable_Civilization_Ethics_and_Quality

    Groves, C. (2019). Sustainability and the Future: Reflections on the Ethical and Political Significance of Sustainability, Sustain Sci, 14: 915-924. https://doi.org/10.1007/s11625-019-00700-0

    José, L.S., Juan, M.D. (2018). Climate Change, Ethics and Sustainability: An Innovative Approach, Journal of Innovation & Knowledge, 3(2): 70-75, ISSN 2444-569X, https://doi. org/10.1016/j.jik.2017.12.002.

    Paula, G., Cavalcanti, R. (2000). Ethics: Essence for Sustainability. Journal of Cleaner Production. 8. 109-117. 10.1016/S0959- 6526(99)00321-2.

    Mohammad, T. S. (2010). Principles of Sustainable Development in Ibn Khaldun’s Economic Thought, Malaysian Journal of Real Estate, 5(1): 1-18.

    Mansor, M.N. (2012). Kerencaman Sosial dan Penipisan Batas Etnik: Kepelbagaian Etnik dan Perkongsian Hidup Bersama di Malaysia. Penenerbit UKM: Bangi.

    Mansor, M.N. (2014). Kesinambungan Sejarah dan Warisan Tamadun Malaysia: Pembentukan Negara Payung Anak Watan dari Alam Melayu dan Melaka. Kamaruddin M. Said (Peny.), Perpaduan Nasional Dalam Pelbagai Perspektif, Putrajaya: Majlis Profesor Negara.

    Mansor, M.N., Nazri, M., Nur, S.M. dan Hazman, H. (2017). Insiden Pergaduhan Sungai Petani 2012: Mengurus Pembangunan Membina Sosial, Jurnal Perpaduan.

    • View
TOPIK 8: Peranan Etika dan Peradaban Mendokong Tanggungjawab Sosial di MalaysiaBUKU TEKS DAN RUJUKAN