TOPIK 8: Peranan Etika dan Peradaban Mendokong Tanggungjawab Sosial di Malaysia
HASIL PEMBELAJARAN
- Menjelaskan takrifan autoriti dan takrifan harian
- Menghuraikan peranan etika dan peradaban ke arah mendukung tanggungjawab sosial.
- Mempamerkan minat kesukarelawanan dalam mencapai keharmonian masyarakat.
8.1 PENGENALAN
Masyarakat Malaysia beridentitikan masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan mereka hidup secara harmoni. Walaupun demikian, tidak dinafikan terdapat riak-riak perselisihan yang terjadi dalam kehidupan berbangsa dan bernegara di Malaysia sebelum ini. Namun, perselisihan yang terjadi tidak menyebabkan rosaknya kesatuan dan dinamika kehidupan harmoni yang telah terbina dalam kalangan rakyat Malaysia.
Realiti sosial yang ada dalam masyarakat Malaysia tidak terlepas daripada realiti sosial yang berlaku di dunia masa kini. Realiti sosial sejagat terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
- Pertama, realiti sosial yang ditentukan oleh pihak berkuasa, selalunya berasal dari atas ke bawah atau disebut juga sebagai takrifan autoriti.
- Kedua, realiti sosial yang lebih terbuka iaitu realiti sosial yang dibentuk oleh seseorang, sesebuah keluarga dan dalam kalangan komuniti untuk memenuhi keperluan seharian masing-masing atau ia juga dipanggil takrifan harian.
Perubahan dan perkembangan realiti sosial masa kini banyak dipengaruhi oleh etika dan peradaban yang diwujudkan dalam masyarakat. Contohnya:
- Adat istiadat adalah takrifan autoriti kerana terdapat peraturan bertulis yang menentukan susunan dan pelaksanaan adat istiadat tersebut.
- Akan tetapi adat resam yang ada dalam masyarakat ditentukan oleh perilaku atau kebiasaan seharian atau takrifan harian tanpa ada peraturan bertulis.
Dalam konteks yang formal, adat istiadat memiliki protokol yang jelas, contohnya adat istiadat yang diamalkan oleh institusi beraja. Apabila ia melibatkan kerajaan dan negara asing, tahap formalitinya semakin ketat dan terperinci, termasuk perlunya melibatkan penggunaan pakaian rasmi dalam suatu acara. Hal ini memerlukan komitmen yang tinggi dari setiap lapisan masyarakat sebagai bentuk tanggungjawab sosial kepada negara.
Untuk konteks tidak formal, meskipun tiada peraturan tertulis, tetapi terdapat tanggungjawab sosial dalam bentuk adab dan nilai hormat-menghormati yang menjadi panduan perilaku individu. Misalnya semasa menghadiri majlis kenduri perkahwinan, kenduri kematian atau upacara meminang, terdapat adab budaya yang tidak tertulis tetapi dijalankan secara turun-temurun daripada generasi ke generasi.
Etika dan peradaban adalah perilaku tanggungjawab sosial yang lahir daripada kesedaran sosial yang digerakkan dan diturunkan daripada generasi ke generasi secara berperingkat individu, keluarga, komuniti, masyarakat, dan negara bagi mencapai keadilan dan keharmonian seperti digambarkan dalam rajah di bawah.

Sumber: Slide Pengajaran Penghayatan Etika dan Peradaban (2020), Jawatankuasa Penggubal Buku Teks PEP, Institut Kajian Etnik Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rajah: Hubungan antara Realiti Sosial dengan Kesedaran Nasional dan Tanggungjawab Sosial dalam Menghasilkan Kehidupan yang Adil dan Harmoni
8.2 TAKRIFAN HARIAN DAN AUTORITI
Konsep realiti sosial mengambarkan pengalaman hidup yang dilalui dan diterima oleh pelbagai kumpulan dan strata berdasar kepentingan peribadi dan norma hidup sejagat. Sebagai contoh, dahulu ketika kita mula belajar mengeja dan membaca, kita belajar daripada ibu bapa di rumah. Apabila masuk ke sekolah, ia juga merupakan proses pembelajaran formal. Pengalaman yang dilalui itu boleh dinikmati oleh semua tanpa mengira kumpulan etnik dan strata, iaitu sama ada seseorang itu kaya, miskin, bangsawan atau rakyat jelata. Ia juga bertujuan memperoleh ilmu pengetahuan dan dapat menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat masyarakat seluruhnya.
8.3 KONSEP TAKRIFAN AUTORITI DAN TAKRIFAN HARIAN
Konsep takrifan autoriti realiti sosial merujuk kepada situasi dan tingkah laku yang berkait rapat dengan protokol, perundangan dan perlembagaan yang telah diseragam dan diperakui bersama. Takrifan autoriti lahir berdasarkan dokumen undang-undang formal yang disahkan oleh pihak berkuasa di dalam masyarakat. Manakala, takrifan harian yang diterima bersama oleh masyarakat tidak terikat oleh undang-undang formal tetapi lebih didasarkan kepada kebiasaan turun-temurun dan norma yang dikongsi sama oleh masyarakat.
Takrifan autoriti tertinggi yang ada di Malaysia kini adalah Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan undang-undang paling tinggi di Malaysia. Undang-undang paling tinggi bermakna Perlembagaan Persekutuan merupakan kekuasaan tertinggi di Malaysia, dan sebagai kekuasaan tertinggi tidak ada kekuasaan atau undang-undang lain di atasnya. Sekiranya terdapat undang-undang di bawahnya yang dihasilkan dan bertentangan dengan perlembagaan maka secara automatik undang-undang baharu tersebut akan terbatal.
Oleh sebab itu penting bagi setiap rakyat Malaysia untuk mengetahui dan memahami konsep dan isi Perlembagaan Persekutuan. Selain perlembagaan, takrifan autoriti berhubungan juga dengan Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja Malaysia dan Perdana Menteri. Gelaran rasmi yang penuh bagi Yang di-Pertuan Agong adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu daripada beberapa bentuk monarki di dunia dengan raja yang dipilih. Dari segi sejarah, konsep ini telah diamalkan oleh kerajaan terdahulu seperti Srivijaya dan Ayutthaya pada abad ke-7. Konsep ini juga berteraskan pemilihan raja yang terdiri daripada negeri-negeri kota di Srivijaya.
Manakala di Malaysia, sistem raja berperlembagaan diamalkan dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang luas. Akan tetapi, baginda juga masih tertakluk kepada perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua kerajaan, dilaksanakan oleh kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk memilih Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh menolak atau menangguhkan permohonan untuk membubarkan parlimen. Baginda juga boleh membubarkan atau menggantung parlimen tetapi hanya boleh membubarkan parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga boleh menolak undang-undang baharu atau pindaan undang-undang sedia ada tetapi sekiranya tidak membuat keputusan, ia secara automatik menjadi undang-undang selepas 30 hari dari pembentangan awalnya.
Dalam takrifan autoriti, selain Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memainkan peranan penting dalam pemerintahan di Malaysia. Perdana Menteri merupakan pemimpin negara dan beliau juga bertanggungjawab mengetuai beberapa badan seperti Eksekutif dan Jemaah Menteri. Manakala Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai ketua negara akan melantik Perdana Menteri dan kebiasaannya beliau mewakili pemimpin dalam sesuatu parti politik yang mendapat majoriti dalam parlimen (Dewan Rakyat).
Bagi takrifan harian, salah satu contoh yang nyata adalah dalam dunia sukan seperti bola sepak, badminton, hoki, dan sebagainya. Penyokong dalam pertandingan sukan akan bersatu dan bergabung tanpa memandang dan mengira kaum, agama, umur, dan budaya. Kita dapat melihat ketika penyokong dari pelbagai kaum, agama, dan budaya yang berbeza di Malaysia bersama-sama menyokong pasukan negeri atau kebangsaan semasa bertanding. Pada masa kini, bersatunya kaum muda di Malaysia dapat dilihat dalam sukan e-sport, daripada pelbagai kaum, agama dan budaya bersama dalam satu kumpulan untuk memenangi pertandingan.
Selain dalam bidang sukan, bersatunya rakyat Malaysia secara semula jadi dapat juga dilihat dalam perang siber semasa negara menerima ancaman daripada negara lain. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama akan bersama-sama untuk mempertahankan negara.
Bagi menambah kefahaman, pembaca disarankan untuk fikir dan bincangkan berkaitan penghayatan takrifan harian dan autoriti. Bagaimanakah anda mengkategorikan kes-kes di bawah ini sebagai takrifan harian atau takrifan autoriti?
- Jalur Gemilang diterbalikkan.
- Tidak mematuhi peraturan jalan raya.
- Seorang Muslim yang tidak peka dengan kualiti halal atau haram makanan yang dibeli.
- Persatuan Agama Buddha menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir tanpa mengambil kira etnik dan agama mangsa.
Bagi situasi pertama, kelihatan masyarakat yang melakukan perbuatan tersebut tidak mematuhi etika dalam bernegara. Ini menyebabkan kesan negatif kepada masyarakat lain dan menimbulkan kemarahan rakyat lain kerana bendera merupakan identiti sesebuah negara.
Bagi situasi kedua pula, masyarakat yang tidak mematuhi peraturan jalan raya juga menunjukkan bahawa mereka tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan tidak bersikap sabar dalam menunggu gilirannya di jalan raya.
Kemudian situasi ketiga menunjukkan ketidakpatuhan dalam etika beragama. Ini memberi kesan spiritual seseorang individu sekiranya dia melakukan perkara yang dilarang dalam agama.
Situasi keempat pula nilai empati yang ditonjolkan dan mereka mengetepikan persoalan perbezaan agama demi berkongsi kesejahteraan dan kesenangan hidup bersama.
8.4 FUNGSI ETIKA DAN PERADABAN DALAM MEMBENTUK TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Menghayati Etika dalam Tanggungjawab Sosial Dalam konteks kehidupan yang berbagai-bagai agama dan etnik di Malaysia, perkara yang berkaitan dengan etika, akhlak dan moral amat perlu diberi perhatian untuk memastikan setiap masyarakat mempunyai teras nilai dan peradaban yang betul dalam kehidupan seharian mereka. Sering kali tanggungjawab sosial yang dimiliki oleh masyarakat berteraskan nilai yang bersumberkan kepada agama, budaya atau falsafah kehidupan yang menjadi pegangan mereka.
Sikap beretika yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia menjadi cerminan jati diri mereka sebagai warganegara Malaysia. Jati diri ini tercermin dalam perilaku dan tanggungjawab yang ditunjukkan dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, mereka perlu menyemai sikap bertanggungjawab semasa membawa kenderaan di jalan raya. Selain daripada itu, masyarakat perlu mengambil berat dan membantu mereka yang mengalami kesusahan, dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan amalan etika yang betul dalam kehidupan seharian dan sebagainya yang berkait rapat dengan etika yang betul dan bersesuaian dengan tempat.
Kemajuan tamadun dan peradaban manusia serta perkembangan teknologi pada masa kini semakin menambah kesedaran manusia terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara. Tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap tanggungjawab sosialnya masa kini semakin tinggi. Hal ini terjadi akibat pemindahan maklumat dan pengetahuan yang pantas melalui teknologi jaringan atas talian atau Internet.
Sikap beretika yang dimiliki oleh rakyat Malaysia menyebabkan wujudnya kesedaran dan perilaku bermoral serta berakhlak dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini. Perilaku beretika ini akan mendorong rakyat Malaysia untuk mengambil berat dan peduli terhadap kehidupan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat lain. Walaupun demikian, wujudnya kesedaran terhadap tanggungjawab sosial ini tidak terjadi dalam masa yang pantas. Ianya memerlukan sebuah proses yang panjang serta mengharungi pelbagai peristiwa dalam sejarah kehidupan berbangsa dan bernegara rakyat Malaysia.
Terdapat 12 nilai-nilai teras yang perlu dibangunkan untuk mewujudkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia. Nilai-nilai teras adalah falsafah peribadi yang dipegang kuat oleh individu dan kumpulan bagi memberi bimbingan, mempengaruhi fikiran, menetapkan matlamat dan keutamaan hidup, membuat keputusan, membina hubungan dan menguruskan konflik dalam kehidupan manusia. Kesemua nilai ini adalah nilai universal yang telah lama wujud dan terus dikembangkan dalam setiap budaya masyarakat di seluruh dunia. Cabaran pengembangan nilai-nilai teras ini adalah pada tindakan nyata dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.
Kesemua 12 nilai-nilai teras itu mampu membentuk tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

Nilai-nilai teras yang mendasari kewujudan tanggungjawab sosial dalam kehidupan rakyat Malaysia ini berkaitan dengan nilai-nilai kepimpinan. Nilai-nilai kepimpinan ini berhubungan rapat dengan etika, moral dan akhlak individu atau pemimpin. Nilai-nilai kepimpinan yang wajib dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah:
- Substantif Rasionaliti iaitu; amanah, perasaan malu, jujur dan berani.
- Formal Rasionaliti iaitu; kerajinan, kawalan diri, jangan ambil hak orang dan teratur sistem.
8.5 TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Ia merujuk kepada kesedaran seseorang individu yang yang mempunyai pandangan hidup yang betul dan dapat memberi keadilan, kebaikan dan kesejahteraan kepada masyarakat yang lain. Individu yang mempunyai tanggungjawab sosial ini akan menghasilkan sebuah masyarakat yang mampu menyelesaikan masalah, menganalisis sesuatu perkara dan mengambil tindakan yang betul untuk keadilan dan kebaikan bersama.
Aras Tanggungjawab Sosial
Terdapat dua aras tahap tanggungjawab sosial:
- Setiap individu boleh memiliki nilai-nilai betul dan salah tentang tindakan peribadinya.
- Individu juga memiliki nilai betul dan salah dalam tindakan kolektifnya apabila berhubungan dengan individu lain, keluarga, komuniti, negara dan masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (dunia).
Dimensi Tanggungjawab Sosial
- Kesedaran dalam diri seseorang terhadap ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat akan mendapat perhatiannya sehingga mahu membawa transformasi sosial dalam masyarakat.
- Tindakan yang diambil, akan membawa perubahan sosial dalam masyarakat, negara atau pada peringkat dunia.
Revolusi Industri
Revolusi industri pertama berlaku pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19. Perubahan besar telah berlaku dalam sektor pertanian, pembuatan dan pengangkutan hingga memberi impak yang besar kepada sosioeknomi dan budaya masyarakat di Britain. Perubahan ini seterusnya merebak ke seluruah Eropah dan Amerika Utara sehingga ke seluruh dunia melalui proses yang dikenali sebagai perindustrian.
Revolusi industri merupakan titik perubahan dan peradaban yang memberi impak yang besar dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh, penemuan teknologi dalam bidang perladangan menjadikan hasil pertanian yang diperoleh lebih tinggi, seterusnya dapat mempertingkat kualiti hidup masyarakat.
Antara ciri-ciri utama dalam revolusi industri adalah peningkatan inovasi dalam sesuatu teknologi Justeru, penciptaan mesin lebih giat dilakukan untuk memudahkan kehidupan manusia, contohnya penciptaan enjin stim. James Watt merupakan pencipta teknologi tersebut, dan ia digunakan untuk membantu proses perkilangan, perlombongan dan juga menggerakkan kereta api.
Revolusi industri telah membawa kesan dan impak yang signifikan kepada perubahan tatanan kehidupan manusia di dunia terutamanya dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Dalam bidang ekonomi, revolusi industri telah menimbulkan peningkatan kewujudan industri dan kilang secara besar-besaran melalui proses mekanisasi. Proses ini menyebabkan produksi barang dalam jumlah yang besar dapat dapat dihasilkan dalam waktu yang singkat, cepat, mudah dan murah. Dengan penggunaan mesin-mesin maka biaya produksi menjadi relatif kecil sehingga harga barang-barang pun relatif lebih murah. Selain daripada penghasilan mesin berteknologi tinggi, ia juga memberi kesan positif kepada bidang-bidang lain seperti sistem komunikasi menjadi lebih mudah dan pantas. Daripada pasaran produk lokal berubah menjadi pasaran produk antarabangsa.
Pelayaran dan perdagangan antarabangsa semakin berkembang dan meningkat laju. Walaupun revolusi industri ini telah membawa perubahan kepada dinamika kehidupan masyarakat dunia, akan tetapi tidak terlepas daripada kesan negatif. Kesan negatif daripada revolusi industri dalam bidang ekonomi adalah ramai syarikat tradisional yang rugi dan menutup perusahaan kerana kalah bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang memiliki modal yang banyak dan menggunakan mesin-mesin moden.
Berkembangnya industrialisasi telah merancakkan lagi proses urbanisasi kerana masyarakat boleh membuka beberapa penempatan baharu untuk membangun bersama-sama. Hal ini menarik ramai masyarakat yang duduk di luar bandar untuk berhijrah ke bandar mencari pekerjaan. Akibatnya aktiviti dan hasil pertanian menjadi berkurang. Peningkatan arus perpindahan daripada luar bandar ke bandar-bandar industri sehinggakan jumlah pekerja juga semakin meningkat. Sementara itu, kilang-kilang banyak yang menggunakan tenaga mesin sehingga upah pekerja menjadi murah, jaminan sosial berkurang sehingga kehidupan mereka menjadi susah.
Kesan daripada revolusi industri kepada bidang sosial adalah terjadinya konflik antara majikan dengan pekerja. Situasi ini telah menimbulkan kumpulan baharu iaitu kumpulan usahawan (kaum kapitalis) yang hidup mewah dengan kumpulan pekerja atau buruh yang hidup dalam kemiskinan. Keadaan ini yang menimbulkan kecemburuan daripada kumpulan buruh kepada kumpulan majikan, seterusnya menimbulkan kebencian terhadap sistem ekonomi kapitalis, sehingga kaum buruh lebih condong kepada fahaman sosialis.
Dalam bidang politik, kaum buruh yang diperlakukan tidak adil oleh kaum usahawan membentuk organisasi yang dikenali sebagai gerakan sosialis. Tokoh yang paling popular dalam penggerakan pemikiran ini adalah Karl Marx dengan bukunya yang terkenal Das Kapital. Kedudukan kaum buruh di parlimen cukup kuat pada masa itu sehingga mendorong dibentuknya suatu parti perjuangan politik iaitu Parti Buruh yang berpandangan kepada sosialis. Di pihak usahawan, kaum kapitalis juga mendirikan parti yang dikenali sebagai Parti Liberal. Kaum kapitalis ini memiliki pengaruh yang kuat dalam kerajaan sehingga berjaya mempengaruhi terjadinya imperialisme moden iaitu perluasan kawasan-kawasan tempat pemasaran hasil industrinya, mencari bahan mentah, penanaman modal yang menguntungkan, dan kawasan untuk mendapatkan tenaga buruh yang murah.
Revolusi industri yang terjadi juga menimbulkan kefahaman etnosentrisme. Etnosentrisme merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Keadaan ini menyebabkan sesetengah kaum atau puak yang mempunyai taraf hidup yang lebih rendah akan disisihkan. Walaupun ia tidak berlaku secara terang-terangan, akan tetapi sebilangan puak minoriti atau golongan rakyat berpendapatan kecil akan berasa rendah diri dan tidak mendapat layanan yang sama rata dengan puak yang lain. Perkara ini boleh mencetus konflik sosial yang lebih teruk antara kaum atau etnik tertentu. Walhal isu ini sepatutnya tidak berlaku pada hari ini memandangkan masyarakat dapat didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan dapat berkongsi kelebihan yang ada dengan orang lain dan tidak mementingkan diri.
8.6 KESEDARAN NASIONAL DALAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL.
Kesedaran nasional merujuk kepada kesedaran yang wujud dalam kalangan individu dan kumpulan dalam suatu negara atau dengan kata lain kesedaran yang wujud dalam kalangan rakyat suatu negara. Contohnya ketika berlaku krisis mata wang yang menjejaskan hampir seluruh negara di dunia pada tahun 1998, negara Korea Selatan merupakan salah satu negara yang terjejas teruk. Pada masa itu, rakyat Korea Selatan telah bersatu padu dengan memberikan sebahagian harta kekayaan yang dimiliki seperti emas, wang bagi membantu kerajaan keluar dari krisis ekonomi yang terjadi masa itu. Ini merupakan salah satu contoh kesedaran rakyat bahawa permasalahan yang negara sedang hadapi adalah tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.
Di Malaysia, rakyat Malaysia juga memiliki tahap kesedaran yang cukup tinggi terutamanya ketika berlaku bencana seperti banjir, pandemik penyakit, mereka bersatu padu menyumbangkan tenaga dan harta untuk meringankan bebanan mangsa dan juga untuk membantu kerajaan menanggung kos pengurusan bencana. Kesedaran untuk membantu sesama masyarakat yang sedang menghadapi kesusahan tidak dapat terjadi begitu sahaja. Ia merupakan sebuah proses yang agak panjang perlu dilalui oleh rakyat Malaysia. Proses ini bermula di rumah dan diperkukuhkan di sekolah serta universiti dan dimatangkan di persekitaran hidupnya semasa dewasa. Justeru, proses untuk mewujudkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia perlu diajarkan sejak kanak-kanak. Ia juga boleh dijalankan melalui aktiviti sederhana seperti memberi derma untuk membantu masyarakat yang dilanda bencana, terlibat dengan aktiviti persatuan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan sebagainya.
Untuk menubuhkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini, kurikulum pengajaran yang berkaitan dengan isu ini patut ditambah baik dan diperkenalkan sejak tadika dan diteruskan sehingga peringkat pengajian tinggi. Hal ini bagi membolehkan proses pendidikan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia dapat mencapai objektifnya.
8.7 TANGGUNGJAWAB SOSIAL DI DALAM DAN LUAR NEGARA
Tanggungjawab sosial adalah kewajiban atau tanggungjawab pihak individu atau pengurusan untuk membuat keputusan atau mengambil tindakan yang dapat memberikan manfaat, kesejahteraan dan kebajikan kepada masyarakat dan organisasi. Contoh tanggungjawab sosial adalah program-program komuniti yang dijalankan oleh pihak pengurusan AEON bagi membantu menjaga kelestarian alam sekitar. Setiap syarikat besar biasanya memiliki program berbentuk tanggungjawab sosial atau yang dikenali sebagai corporate social responsiblilty (CSR).
Tanggungjawab sosial ini dapat dilakukan oleh individu atau organisasi yang berada di dalam negeri dan juga di negara luar. Contohnya CSR yang dijalankan oleh syarikat-syarikat antarabangsa seperti Microsoft, Danone, Nestle, dan sebagainya. Salah satu contoh tanggungjawab sosial yang sangat terkenal pada masa kini adalah Grameen Bank yang didirikan oleh Muhammad Yunus. Grameen Bank adalah sebuah bentuk keusahawanan sosial yang bertujuan untuk membantu masyarakat miskin, khasnya kaum wanita di Bangladesh. Walaupun pada awalnya, Grameen Bank bermula di Bangladesh tetapi pada saat ini hampir di semua negara terutamanya negara-negara membangun terdapat Grameen Bank atau organisasi berkonsepkan Grameen Bank. Contohnya Amanah Ikhtiar Malaysia yang banyak membantu golongan miskin, khasnya kaum wanita di Malaysia.
Tanggungjawab sosial ini banyak dijalankan di seluruh dunia masa kini yang bertujuan untuk membantu mengurangi permasalahan sosial, ekonomi, persekitaran, kaum, dan sebagainya. Banyak aktiviti berbentuk tanggungjawab sosial dijalankan oleh individu mahupun kumpulan terutamanya yang berhubungan dengan alam sekitar, hak asasi manusia, kemiskinan, pendidikan dan sebagainya.
Perubahan iklim merupakan isu global masa kini. Ramai kumpulan pencinta alam bersama kumpulan saintifik di seluruh dunia menjalankan aktiviti dan penyelidikan berkaitan perubahan iklim ini. Perubahan iklim yang terjadi hampir di seluruh dunia pada masa kini disebabkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab daripada individu mahupun kumpulan tertentu.
Perubahan iklim memberi kesan kepada kesediaan sumber pangan yang mencukupi. Kekurangan sumber pangan dan faktor kemiskinan menyebabkan ramai berlaku kes kebuluran saat kini. Perubahan iklim yang terjadi di seluruh dunia terutamanya di kawasan Asia Tenggara telah memberi kesan kepada masyarakat di Malaysia. Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan produksi sumber makanan menjadi tidak stabil dan dapat mengganggu kecukupan sumber makanan sehingga berlaku kebuluran. Oleh kerana itu kita terpanggil untuk membantu meringankan bebanan kehidupan mereka dengan menjalankan beberapa aktiviti sosial dan program keusahawanan sosial.
Selain itu juga, setiap individu di negara ini perlu menjaga kestabilan kehidupan berbangsa dan bernegara dengan mempertahankan kestabilan politik. Hal ini merupakan salah satu contoh tanggungjawab sosial seseorang kepada negara, kerana sekiranya keadaan politik tidak stabil sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan maka rakyat yang akan menderita dan sengsara.
Kesukarelawanan
Merujuk kepada Kamus Dewan, perkataan sukarela, bermakna dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa, tidak dikerah dan dengan rela hati. Manakala perkataan kesukarelaan pula bermakna sikap sukarela. Berdasarkan makna tersebut, kesukarelawanan secara umumnya dapat dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah dengan niat yang ikhlas dan dengan tidak mengharapkan apa-apa pulangan untuk diri sendiri.
Individu yang sanggup berkorban dan melakukan kerja-kerja kesukarelaan ini dikenali sebagai “sukarelawan” bagi lelaki dan “sukarelawati” bagi perempuan. Akan tetapi dalam konteks penggunaan dan pengamalan harian, istilah sukarelawan ini yang digunakan untuk mewakili sukarelawan lelaki dan juga perempuan.
Contoh NGO yang menjalankan aktiviti kesukarelawanan di dalam dan luar negara adalah Mercy Malaysia, HALUAN, Muslim Care, EZ Qurban dan Yayasan Sejahtera.
Sikap sukarelawan mendorong seseorang untuk dapat terus hidup secara bermasyarakat dan berkongsi ukhuwah serta kasih sayang. Pada hakikatnya para sukarelawan adalah insan-insan berbudi yang dengan ikhlas membantu sesamanya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sekiranya individu atau kumpulan yang dibantunya berjaya keluar daripada permasalahan mereka, ia merupakan suatu kepuasan dan kebahagiaan tersendiri bagi para sukarelawan. Seringkali kita tidak mengenali para sukarelawan ini kerana sebahagian tidak ingin dikenali dan tidak ingin mencari publisiti. Bahkan mereka telah menabur jasa dan meninggalkan kesan abadi pada jiwa-jiwa manusia lain yang dibantunya. Walaupun demikian, terdapat segolongan individu yang mengaku sukarelawan tetapi meletakkan namanya untuk dikenali oleh masyarakat dan mereka yang ditolongnya. Setiap manusia seharusnya sentiasa menampilkan sifat sukarelawan yang tulus tanpa mengharapkan balasan atau untuk suatu tujuan tertentu, serta sentiasa bersedia berkongsi khidmat dan keringat untuk membantu orang lain.
8.8 KESIMPULAN
Etika, moral dan akhlak adalah elemen penting dalam suatu perhubungan di antara manusia dengan penciptanya, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar. Sikap beretika, bermoral dan berakhlak ini berkaitan dan mencerminkan emosi dalaman seseorang. Etika dan akhlak merupakan tali pengikat di antara sesama manusia kerana manusia yang beretika, bermoral dan berakhlak akan membentuk masyarakat yang harmoni, negara yang selamat dan dunia yang damai. Akan tetapi ia bukan suatu perkara yang mudah kerana manusia memiliki pelbagai sifat dan keinginan yang sukar untuk diramal dan dikawal. Oleh kerana itu perlu dilakukan kajian yang mendalam secara holistik mencakupi individu, institusi, dan pihak-pihak yang berkuasa bagi mendapatkan pandangan untuk membina suatu aturan dan norma-norma am dan khas bagi menguruskan perilaku manusia.
“Seorang saintis bukan sahaja mahir dalam fakta saintifik bidangnya, tetapi sedar bahawa sains dan dunia ilmu wujud dalam kerangka masyarakat. Maka setiap kerja saintifik pada dasarnya bermatlamatkan untuk mempromosi dan menjaga kesejahteraan hidup manusia dan masyarakat.” (Donald, 2013)

- Pernahkah anda terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan? Apakah perasaan anda ketika melakukan aktiviti tersebut?
- Apakah kesan aktiviti kesukarelawanan terhadap diri anda? pada pendapat anda apakah kesan aktivti-aktivti seperti ini terhadap masyarakat dan negara?
- Bayangkan anda perlu melakukan aktiviti kesukarelawanan untuk kolej / institusi anda. Apakah aktiviti yang ingin anda lakukan? Mengapa anda memilih aktiviti tersebut? Apakah impak yang akan berlaku?
8.9 RUJUKAN
Donald, K.J., Kovac, J. (2013). The Scientist’s Education and a Civic Conscience. Science and Engineering Ethics, 19(3): 1229-1240.
Kamus Online Dewan Bahasa dan Pustaka. (2020). https://prpm.dbp. gov.my/Search?k=kamus
Muhammad, Y. (2010). Building Social Business: The New Kind of Capitalism That Serves Humanity’s Most Pressing Needs, USA: Perseus Books Group.
Slide Pengajaran Penghayatan Etika dan Peradaban (2020).
Jawatankuasa Penggubal Buku Teks PEP, Institut Kajian Etnik Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sulaiman, M. & Mohd, N. (2009). Memupuk Kesedaran Tanggungjawab Sosial Melalui Penglibatan dalam Aktiviti Kejiranan dari Kaca Mata Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Kemahiran Insaniah dan Kerja Sosial, Melaka, 24 Julai 2009.
Tye, J. (2010). The Twleve Core Action Values, USA: Values Coach Inc.
Laws of Malaysia (Online Version of Updated Text of Reprint. (2012).
Civil List Act 1982. Attorney-General Chamber.
Centre for Public Policy Studies. (2020). Policy Factsheet: Remuneration of Elected Officials in Malaysia, http://cpps.org. my/, diambil pada 20 Mac 2021.
Tylecote, R.F. (1992). A History of Metallurgy, Second Edition. London: Maney Publishing.
Yamani, E. (2015). Tanggungjawab Sosial. https://prezi.com/ qqnfiajj91wz/tanggungjawab-sosial/ diambil pada 12 Disember 2020.
- View
- Pernahkah anda terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan? Apakah perasaan anda ketika melakukan aktiviti tersebut?
- Apakah kesan aktiviti kesukarelawanan terhadap diri anda? pada pendapat anda apakah kesan aktivti-aktivti seperti ini terhadap masyarakat dan negara?
- Bayangkan anda perlu melakukan aktiviti kesukarelawanan untuk kolej / institusi anda. Apakah aktiviti yang ingin anda lakukan? Mengapa anda memilih aktiviti tersebut? Apakah impak yang akan berlaku?
Latihan kendiri ini bertujuan untuk menguji kefahaman anda tentang topik ini.