Main course page
  • TOPIK 7: Teknologi Maklumat Komunikasi Penggerak Kemajuan Nasional

    HASIL PEMBELAJARAN

    1. Menghuraikan hubungan manusia dan teknologi.
    2. Membincangkan etika dan peradaban dalam penggunaan ICT.
    3. Menganalisis isu semasa ICT di Malaysia.


    7.1 PENDAHULUAN

    Pemantapan kesepaduan nasional berpaksikan etika dan peradaban Malaysia perlu seiring dengan perkembangan teknologi terkini, khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. ICT merupakan tapak digital yang memberi ruang kepada masyarakat berinteraksi dan membina jaringan sosial. Aplikasi digital seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Zooms contohnya telah menjadi latar hidup masyarakat generasi semasa. Selain menjadi pemangkin sistem komunikasi, wujud juga isu-isu defisit sosial yang sering dibahaskan dalam pelbagai ruang sehingga ke dalam ruang digital.

    Secara fenomenologinya, ekoran tiada institusi sejagat yang mengawal perkembangan ini, ICT boleh menjadi alat dan sistem komunikasi yang merapatkan (positif) dan juga menjarakkan hubungan sosial (negatif). Isu berleluasanya berita palsu dan ucapan kebencian melalui tapak digital, sangat dibimbangi oleh kerajaan dan orang awam. Kini, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana kesepaduan nasional di Malaysia mampu dikukuhkan dengan penghayatan etika dalam penggunaan ICT?

    7.2 EVOLUSI DAN PENGGLOBALAN TEKNOLOGI

    Internet merupakan rangkaian komputer terbesar di dunia yang membenarkan maklumat secara global dapat dicapai. Pada mulanya Bolt, Beranek, dan Newman, Inc., (BBN) telah mereka bentuk satu rangkaian yang dikenali sebagai Advanced Research Projects Agency Network (ARPANET) pada tahun 1969 untuk kegunaan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan hanya menghubungkan empat nod atau hos sahaja iaitu Universiti California di Los Angeles, SRI International, Universiti California di Santa Barbara dan Universiti Utah (Nor Azah, 2009). 

    Tiga tahun kemudian ARPANET terus berkembang dengan menghubungkan lebih daripada 20 komputer. Sejarah permulaan rangkaian komputer di dunia ini seterusnya dikenali sebagai Internet (Greenlaw, Raymond & Hepp, 2002).

    Rangkaian atau jaringan komputer yang tercipta inilah yang membolehkan berlakunya interaksi dan perkongsian maklumat di antara penggunanya (Schneider & Evans, 2002). Struktur Internet pula terdiri daripada talian telefon, kabel, gentian optik, dan alat komunikasi lain yang saling bersambung di antara satu sama lain merentasi kawasan terpencil, negara, malahan benua (Mohd Juzaiddin Abd. Aziz et al., 2003).

    Teknologi maklumat pula merujuk kepada perkembangan teknologi memproses data menjadi maklumat menggunakan komputer, disimpan dan boleh diguna semula apabila diperlukan untuk sesuatu tujuan. Sebelum ini, maklumat dikongsikan melalui sistem rangkaian komputer sahaja. Kemudiannya, teknologi komunikasi diperkenalkan bagi memajukan sistem komunikasi analog kepada digital sehingga membolehkan data, maklumat dan suara digerakkan melalui jaringan komunikasi berasaskan talian telefon, fiber optik dan satelit.

    Di Malaysia, ICT sebagai konsep teknologi berkaitan maklumat dan komunikasi mula diperkenalkan seiring dengan perkembangannya di peringkat global. Istilah Information Communication Technology meliputi makna yang dapat dilihat kini, bagaimana bentuk apps transaksi dan komunikasi berasaskan platform Internet dan digital muncul dalam peranti smart phone sebagai pengantara teknologi maklumat dan komunikasi terkini. Teknologi ini berevolusi dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan masyarakat sejak kewujudan manusia lagi. Ia telah mempengaruhi semua bidang seperti tadbir urus, pertanian dan pemakanan, pembinaan, pengangkutan, teknologi maklumat dan teknologi komunikasi secara menyeluruh. Kini, terknologi digital berasaskan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence (AI)) dan Internet benda (Internet of Things (IoT)) turut berkembang pesat seiring dengan keperluan pengguna dan perkembangan revolusi industri 4.0.

    Evolusi dan pengglobalan teknologi telah memberi banyak manfaat dalam kehidupan manusia. Namun begitu, tidak dapat dinafikan juga wujud situasi penyalahgunaan teknologi oleh pengguna yang memudaratkan, sehingga mencetuskan kejatuhan ekonomi dunia dan lain-lain lagi. Teknologi secara khususnya tidak boleh disalahkan. Sebaliknya, manusia sebagai penghasil dan pengguna teknologi perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

    Pembinaan kesepaduan nasional yang sekali gus mewujudkan peradaban majmuk Malaysia sangat dipengaruhi oleh perkembangan teknologi semasa. ICT sebagai tapak digital yang wujud dalam bentuk Internet, aplikasi digital, Facebook, Instagram dan berbagai-bagai lagi. Manusia kini menggunakan pelbagai apps dan group media sosial untuk menjalani suatu bentuk kehidupan baharu.

    7.3 EVOLUSI TEKNOLOGI DAN ICT DI MALAYSIA

    Perancangan pengembangan teknologi di Malaysia sudah dirangka pada zaman Tun Razak sebagai Perdana Menteri lagi. Ia boleh dibuktikan pada kandungan bahagian pertama Rukun Negara yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Hari Kemerdekaan (31 Ogos 1970) yang ke-13. Penggunaan teknologi direkod dan dimaktub sebagai objektif ke-5 dalam Rukun Negara iaitu:

    “Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden”.

    Kepimpinan negara dahulu telah menyediakan suatu agenda besar kepada masa depan masyarakat negara. Hal ini patut dihayati sebagai suatu manfaat yang dinikmati masa kini. Ia menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang ingin dibentuk, iaitu:

    1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat.
    2. Memelihara satu cara hidup demokratik.
    3. Mencipta satu masyarakat yang adil iaitu kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
    4. Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak.
    5. Membina sebuah masyarakat yang progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden.

    Sejarah rentetan awal pengembangan jalur lebar bermula dengan nama besar Dr. Mohamed Awang Lah (1983). Pensyarah kejuruteraan di Universiti Malaysia ini telah mencetuskan idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia luar menerusi Internet di makmal Universiti Malaya. Kumpulan kerjanya telah merangkaikan Internet antarabangsa yang mula dikomersialkan di Malaysia dengan nama Rangkaian Komputer Malaysia (RangKOM) pada tahun 1989.

    Usaha ini, akhirnya berjaya mewujudkan JARING (Joint Advanced Integrated Networking) yang dilancarkan pada tahun 1991 (https://www.majalahsains .com/sejarah-internet-malaysia/).

    Perlu dihayati bahawa kepimpinan negara mementingkan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi sebagai bahantara dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan. Pertumbuhan bilangan hos Internet di Malaysia telah bermula sekitar tahun 1996. Syarikat carian dan portal web pertama (Cari Internet / internet searchjuga ditubuhkan pada tahun itu. ICT telah menjadi tumpuan kerajaan dalam era globalisasi dan pengetahuan baharu. Kepimpinan kerajaan seterusnya menjadikan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) pada tahun 1996 sebagai ejen dan bahantara utama untuk mencapai Wawasan 2020. MSC, berobjektifkan membina Malaysia memiliki persekitaran teknologi terkemuka di dunia untuk memudahkan kemajuan negara dengan memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan menarik syarikat-syarikat terkemuka bertaraf dunia melakukan pelaburan di Malaysia (Multimedia Super Corridor, 2003).

    Koridor ini terletak di antara dua bandar baharu iaitu Putrajaya dan Cyberjaya. Cyberjaya adalah pangkalan bagi beberapa syarikat multimedia terbesar dan paling inovatif di dunia. Ia diharapkan dapat menjadi pemangkin pertumbuhan pusat perindustrian berasaskan teknologi multimedia yang paling halus untuk mengeluarkan produk dan menyediakan perkhidmatan untuk pasaran global (Ariff & Goh, 1998).

    Pada tahun 1998, Akta Komunikasi dan Multimedia diwartakan bagi memenuhi keperluan untuk menyeragamkan industri komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang. Akta ini berdasarkan prinsip asas ini: ketelusan dan kejelasan; lebih banyak persaingan dan kurang peraturan; fleksibiliti; berat sebelah terhadap peraturan generik; kesabaran peraturan; penekanan pada proses dan bukannya kandungan; ketelusan pentadbiran dan sektor; dan peraturan kendiri industri (SKMM, 1998).

    Terdapat juga Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang dilancarkan. HSBB adalah projek utama Inisiatif Jalur Lebar Nasional dan bertujuan untuk meningkatkan daya saing negara. Projek nasional, bernilai RM11.3 bilion ini adalah usaha bersama Telekom Malaysia (TM) dan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang. 

    Beberapa inisiatif termasuk pelaksanaan pusat komuniti jalur lebar untuk memberi perkhidmatan kepada 615,000 isi rumah di lokasi dengan peruntukan RM60 juta. Semua usaha dan inisiatif ini membawa pembangunan kepada masyarakat yang menuju kepada masyarakat yang harmoni kerana merapatkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin (Ali Salman et al., 2013).

    Kini, pelbagai teknologi berkaitan ICT muncul. Masyarakat kini melihat teknologi menjadi aksesori penting kepada kehidupan manusia, sehinggakan akses Internet menjadi seperti keperluan asas selain makanan, tempat tinggal dan pakaian.


    7.4 KONSEP HUBUNGAN MANUSIA DAN TEKNOLOGI

    Secara disedari, ICT adalah konsep bersifat maya yang tidak dapat dilihat. Perkara yang dapat dilihat secara mata kasar hanyalah alat teknologi seperti komputer, sistem wayar yang saling berhubung dan sistem komunikasi berperantara teknologi melibatkan telefon, wayar, menara telekomunikasi dan satelit atau alat pemancar gelombang.

    Dalam konteks sains sosial, kesemua ini dilihat sebagai alat yang membantu, memudah dan mempercepatkan pemprosesan dan penghantaran maklumat. Ia menjadi alat yang menentukan kesempurnaan sistem sosial kini. Dengan teknologi ini, banyak penerokaan informasi, ilmu pengetahuan dan hiburan diperolehi termasuk dalam medium media sosial.

    Penggunaan media sosial secara berterusan dan tanpa sempadan menjadi polemik kepada sistem nilai kini. Ia bukanlah suatu yang bersifat negatif atau terlalu positif nilainya. Sebaliknya, ia adalah alat untuk membina rantaian yang mempunyai akibat positif dan negatif bergantung kepada cara penggunaan dan niat penggunanya.

    Media sosial adalah pedang bermata dua yang tajam. Penggunaannya dapat dilihat dalam analogi pisau yang dapat menjadi alat untuk memotong makanan (kebaikan), namun dalam masa yang sama juga dapat digunakan untuk melakukan kejahatan.

    Dalam dunia globalisasi masa kini, media sosial telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat yang digunakan dalam aktiviti seharian seperti bersosial, mendapatkan maklumat dan belajar. Namun, ada beberapa masalah negatif yang timbul dari penyalahgunaan media sosial yang memerlukan beberapa bentuk campur tangan dalam bagaimana masyarakat menggunakannya untuk komunikasi dan interaksi. Tidak dapat dinafikan kenyataan bahawa media sosial telah merevolusikan cara manusia di dunia ini berinteraksi antara satu sama lain sebagai keluarga, dengan rakan dan di tempat kerja. Malangnya, penggunaan media sosial yang berlebihan menjadikan pengguna antisosial. Pengguna media sosial kebanyakannya begitu asyik dengan gajet mereka dan mengabaikan orang di sekeliling mereka.

    Media Sosial dan Pemerkasaan

    Terdapat pelbagai kemudahan dalam media sosial yang boleh mendorong kepada pemberdayaan. Dalam revolusi industri 4.0, media sosial dan teknologi digital lain akan menjadi platform dominan yang menghubungkan manusia. Mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi ini akan ketinggalan. Dalam usaha pemerkasaan, ICT sering kali dilihat sebagai alat yang mempercepatkan banyak urusan manusia, alat yang memudahkan dan meringankan beban kerja, alat yang membantu komunikasi lebih efisien dan alat yang menghubungkan sesiapa sahaja, walau di mana sahaja tanpa mengira masa. ICT kini adalah sebahagian daripada kehidupan manusia. Lihatlah sahaja cara masyarakat bekerja, membeli belah dalam talian, membayar bil utiliti dan memesan makanan secara atas talian. Semua ini tidak berlaku pada era revolusi industri sebelum ini. Manusia tidak boleh mengelak daripada menggunakan teknologi.

    Revolusi industri 4.0 merupakan teknologi automasi atau dengan kata lain Internet of Things (IoT). Konsep IoT bermula pada tahun 1999 dan diciptakan oleh Kevin Ashton, perintis teknologi Britain. Objek fizikal dibuat “pintar” dengan menghubungkanny kepada Internet menggunakan pengesan/sensor universal. Ini juga akan memberi kesan kepada cara pengguna menghasilkan sesuatu. Seperti alat komunikasi atau media lain, penggunaan media sosial memerlukan beberapa pengimbangan dan keseimbangan. Oleh itu, pelbagai usaha diperlukan untuk mengatasi limpahan teknologi media sosial ini. Masyarakat Malaysia sebagai contohnya sedia maklum bahawa wujud peruntukan undang-undang berkaitan etika kepenggunaan teknologi. Untuk itu, kempen kesedaran penggunaan media sosial secara beretika sangat penting.

    Untuk itu juga, masyarakat perlu melatih diri, menerima sistem tadbir urus moden dengan pembangunan negara berasaskan teknologi baharu ini. ICT kini muncul dalam pelbagai bentuk apps/ aplikasi, media sosial dan model perniagaan baharu. Jadi, di manakah generasi masyarakat Malaysia berada? Adakah sebagai pengguna biasa, usahawan ICT, pelopor teknologi atau mangsa kecanggihan teknologi?

    Hakikatnya, pada suatu ketika dahulu, ICT dianggap sebagai suatu bebanan bagi orang yang tidak biasa menggunakannya. Kini, ia digunakan oleh semua peringkat umur kerana banyak urusan boleh diselesaikan melalui penggunaan ICT. Contohnya pengajaran dan pembelajaran secara atas talian, bayaran utiliti dan lain-lain urusan yang memudahkan pengguna ICT. 

    Namun demikian, terdapat isu yang menyebabkan berlakunya jenayah buli siber, bertikam lidah (hate speech) dan mangsa scam. Ini berlaku kerana pengguna yang tidak beretika akan menyalahgunakan wahana ini sebagai pencetus perbalahan sesama masyarakat.

    Revolusi industri 4.0 kini dilihat mencabar masyarakat dengan warna kehidupan baharu. ICT menyebabkan manusia dalam ketakutan apabila dikejar dengan mudah oleh pihak bank mengutip hutang dengan pelbagai reminder automated call, auto-reminder dan mesej.

    Justeru, prefix teknologi diwujudkan bagi menunjukkan konsep teknologi baik dan tidak baik. Oleh kerana ICT adalah buatan manusia, maka manusia yang mereka cipta ICT telah menyusun istilah dan makna yang baik dalam ICT menggunakan prefix ‘e’. Sebagai contoh; e-government, e-hailing, e-training dan sebagainya. Konsep dan makna yang tidak baik disusun bermula dengan prefix cyber-, maka wujud istilah-istilah ICT yang menakutkan pengguna seperti cyber-bullying, cyber-crime, cyber-sex dan sebagainya. Selain itu, dalam konteks hubungan kemanusiaan iaitu perpaduan kini, wujud fenomena yang merisaukan masyarakat semasa seperti dalam istilah hate-speech, scammer, fake news dan deep fake.

    Walau apapun situasinya, ICT adalah sebahagian daripada cara hidup manusia. Ia menguruskan kehidupan dan cara bekerja setiap hari. Manusia tidak boleh dielakkan daripada menggunakannya. ICT melatih masyarakat menggunakan teknologi sebagai sebahagian proses tadbir urus dan pembangunan negara.

    Semua manusia perlu hidup dalam realiti semasa. Manusia tidak mampu berpatah balik daripada tidak menggunakan smart phone. Masyarakat kini amat memerlukan keupayaan data Internet atau menyediakan Wi-Fi percuma dalam pengkomersialan perniagaan, promosi dan segenap ruang keperluan berkaitan.

    7.5 ETIKA DAN PERADABAN DALAM PENGGUNAAN ICT

    Kesembilan elemen berikut menjadikan warga dunia kini sebagai warga digital, iaitu dari sudut: akses, perdagangan, komunikasi, literasi, etika, undang-undang, hak dan tanggungjawab, kesihatan dan keselamatan, keselamatan (acces, commerce, communication, literacy, etiquette, law, rights and responsibility, health and security, security).

    Semasa pengguna berkongsi maklumat di media sosial, masalah etika dan integriti harus menjadi perhatian utama. Apabila pengguna ingin berkongsi sebarang maklumat, maka perlulah meemriksa dan menyelidiki terlebih dahulu sesuatu isu itu. Ini dibimbangi sekiranya maklumat itu palsu dan boleh membahayakan individu yang lain.

    Seseorang mungkin mengatakan bahawa mereka boleh memadamkan mesej di media sosial pada zaman sekarang. Namun setelah mesej disiarkan, untuk memadamkannya semula sudah terlambat dan kerosakan mungkin telah dilakukan seperti kata pepatah: sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Akibatnya mungkin melibatkan pihak lain, termasuk keluarga, rakan, rakan sekerja dan juga pihak berkuasa, terutama jika komen anda atau apa yang anda kongsikan merosakkan reputasi orang lain.

    Masih terdapat pengguna media sosial di luar sana yang berpendapat bahawa mereka tidak dapat dikesan. Tetapi teknologi yang sama yang membolehkan anda tidak dikenali juga memudahkan anda dikesan. Kini, pelbagai unsur etika dan peradaban ICT boleh ditemui dalam Internet. Namun apa yang penting yang perlu diketahui ialah bagaimana masyarakat menterjemah ICT sebagai penghayatan dalam kehidupan seharian.

    Pelbagai peraturan boleh ditemui dalam menggunakan komputer, Internet dan media sosial. Peraturan itu diadakan bersekali dengan ada teknologi tersebut oleh pembinanya. Isunya kini, bagaimanakah masyarakat patut menterjemah ICT sebagai suatu perkara sahaja dalam pelbagai perkara lain berkaitan kehidupan mereka? Atau dalam maksud lain, bagaimana usaha menghidupkan komunikasi maya tersebut sebagai alat komunikasi nyata yang boleh dinilai hukum secara lapangan nyata.

    Untuk mencapai maksud itu, masyarakat perlu sedar bahawa apabila mereka berinteraksi melalui ICT sama ada secara formal atau tidak formal, mereka perlu mengambil kira empat peraturan:

      1. Komunikasi sesama manusia. Hakikatnya komunikasi yang dilaksanakan adalah 100% melibatkan hubungan manusia dengan manusia, walaupun sebahagiannya berhubungan dengan perisian dan sistem. 
      2. Mengikuti piawai kelakuan online seperti yang diikuti dalam kehidupan sebenar. Walaupun dunia komunikasi ini bersifat maya, ia adalah sistem yang sama dalam dunia nyata.
      3. Ketahui di mana anda sebagai pengguna berada di dunia siber. Hormati ruang maya komunikasi, contohnya dalam ruang rakan sekerja mungkin berbeza gaya bahasa dan budi bicara berbanding ruang keluarga.
      4. Hormati masa dan privasi orang lain. Masa setiap individu amat berharga. Pengurusan masa perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Justeru, perkongsian bahan yang tidak bermanfaat dan kurang nilai etika dan estetika akan membazirkan ruang masa pembaca dan ahli berkomunikasi.


    7.6 ICT TAPAK PENGUKUHAN KESEPADUAN NASIONAL

    ICT amat perlu dipelajari dan dipupuk sebagai agen kesepaduan sosial. ICT perlu dipelajari dan dikuasai supaya ia menjadi agen kesepaduan sosial dalam budaya kehidupan moden ini. Masyarakat pengguna perlu mendidik diri mereka, keluarga dan komuniti mengenai cara mengguna dan mengurus ICT bagi mengukuhkan kesepaduan sosial masyarakat Malaysia.

    Budaya berprestasi tinggi perlu dihidupkan, sama ada daripada sudut akhlak dan tatacara bertutur, berkongsi, menampil diri, berhujah dan menyantuni orang lain, walaupun sewaktu tidak dapat dilihat secara nyata oleh orang lain. Begitu juga, perlu dijaga adab, adat dan etika walaupun tindakan atas kesalahan daripadanya belum dibuat terhadap diri manusia lain. Sebagai contohnya dalam melakukan aktiviti berikut:

      1. Pertuturan: Perlu menggunakan bahasa yang formal, jelas dan teratur. Walaupun berkomunikasi dengan rakan rapat, kerana ia boleh menambahkan kemesraan. 
      2. Perkongsian: Perlu dilakukan mengambil kira implikasi perundangan supaya apa yang dikongsi itu boleh dipertanggungjawabkan.
      3. Pendekatan nasihat: Perlu berhikmah dan bertatasusila supaya ia boleh memberi kesan positif kepada si penerima dan sekaligus nasihat yang disampaikan berkesan.
      4. Adat berdebat: Perlu berasaskan kepada fakta dan solusi yang jelas supaya suasana perdebatan dan diskusi berlaku secara harmoni dan berhemah, serta mencapai kata sepakat yang baik.
      5. Penampilan diri: Perlukan kekemasan dan keteraturan supaya memenuhi tuntutan moral, nilai sejagat dan hukum beragama.
      6. Tatacara meletakkan gambar: Perlu memastikan gambar bersifat komersial dan sejagat supaya ia memenuhi tuntutan pengguna yang memuat naik dan memuat turun gambar tersebut. Maksud yang jahat akan membawa implikasi yang negatif dan buruk.
      7. Kaedah berbudi: Perlu jelas maksud dan tujuan murni tersebut supaya penerima akan menghargai respon yang diberikan oleh pengirim dan suasana tersebut pastinya mengharmonikan kehidupan sejagat.
      8. Menghormati orang tua dan menyayangi orang muda: Etika hidup sebegini perlu berlaku secara nyata dan maya dengan jelas kebaikannya. Ia pastinya menjadi teladan yang baik dan merapatkan hubungan manusia.
      9. Menyantuni etnik berbeza: Perlu menjaga sensitiviti antara sesama manusia. Pastikan tidak wujudnya ketegangan yang menyusahkan dan merimaskan semua orang. Sebetulnya tiada pihak yang menang sekiranya sentimen perkauman ditimbulkan.
      10. Mengurus privasi diri: Secara fitrahnya semua manusia perludihormati dan dihargai, baik dalam bentuk zahir mahupun secara maya. Tuntutan kemanusiaan ini akan meninggikan martabat individu yang memperjuangkan privasi diri dan kalangan mereka.
    Secara ringkasnya, ICT perlu diaplikasikan secara bijak dan langkah ini sudah dimulakan oleh pihak kerajaan. Institusi pengajian tinggi juga turut terlibat dalam usaha tersebut, iaitu seperti penerbitan buku Panduan Keibubapaan Siber yang diketuai oleh Dr. Munira Abdul Razak, Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Kumpulan kerja ini turut membangunkan produk inovasi pengurusan kepelbagaian ADAM bagi mengukuhkan perpaduan antara etnik, patriotisme dan nilai jati diri. Menurut Munira, ADAM merujuk kepada perkataan

    Autentik, Dinamik, Altruistik dan Manusia. Kajian berkenaan ADAM dilakukan sejak tahun 2007 melalui pembelajaran dalam kalangan pelajar kejuruteraan. Inisiatif itu dijalankan untuk melihat kefahaman dan penghayatan pelajar kejuruteraan dalam modul hubungan etnik (Amin, 2018).

    7.7 ISU SEMASA ICT

    Perkembangan teknologi hari ini semakin mendedahkan kecanggihannya. Teknologi baharu dicipta bagi memenuhi keperluan kehidupan masyarakat yang semakin berminat untuk bersaing dengan menggunakan alat canggih itu bagi mendapatkan berita dan maklumat mengenai pelbagai isu di sekeliling mereka.

    Media sosial muncul antara platform paling popular. Ciri-ciri interaktif media sosial yang unik dan meluas membolehkan setiap orang tidak hanya terhad berkongsi maklumat melalui teks, tetapi mereka boleh mengakses serta memuat turun video, foto, audio dan permainan. Secara tidak langsung, ia mengubah cara hidup, keperibadian dan identiti manusia. Mengikut Kajian Pengguna Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM, 2019), peratusan pengguna Internet di Malaysia semakin meningkat. Peningkatan penggunaan Internet turut menyumbang kepada pelbagai isu yang timbul ekoran kepincangan pengurusan ICT. Antara impak negatif paling ketara berkaitan isu berikut ialah:

    1. Keruntuhan akhlak

    Keruntuhan akhlak boleh dilihat dalam pelbagai sudut, seperti isu pornografi, buli siber, ketagihan permainan video dan vandalisme. Banyak kes jenayah berkaitan perkara tersebut. Ia bukan sahaja terkesan kepada golongan muda, bahkan gologan tua dan kanak-kanak. Antara aktiviti keruntuhan moral lain seperti isu hate speech, hate crime dan pembaziran masa yang amat ketara dengan alatan (gadget). Implikasi lain seperti dalam isu technostress dan technophobia. Technostress merupakan keadaan yang menyebabkan seseorang berasa tidak selesa dengan perkembangan teknologi. Ia juga berlaku disebabkan oleh ketidakmampuan untuk mengadaptasi dengan revolusi teknologi, dan ia memberi kesan kepada aspek fizikal dan mental (Suryanto & Twista, 2017). Manakala technophobia juga berkaitan dengan ketakutan yang tidak formal dengan perubahan teknologi, sains dan perubahan secara umum (Panji, 2020). Kedua-dua istilah itu saling berkaitan iaitu memberi kesan sampingan kepada mangsa sama ada daripada segi fizikal atau emosi.

    2. Penipuan dan korupsi

    Penipuan menjadi isu besar dalam penggunaan ICT, terutama melibatkan jenayah kewangan seperti scammer, mencuri maklumat sulit, menggodam atau manipulasi data. Isu monopoli perniagaan juga semakin meresahkan, contohnya kehadiran grab car, Food Panda, Shopee, Lazada dan sebagainya yang dikatakan menutup sebahagian rezeki peniaga yang menggunakan kaedah konservatif.

    3. Pencerobohan hak privasi

    Secara tidak sedar, masyarakat perlu terima hakikat bahawa mereka diintip oleh media sosial. Justeru pelbagai jenayah sampingan boleh berlaku.

    4. Peperangan bentuk baharu

    Negara-ngera di dunia sudah mula menggerakkan ketumbukan tentera dengan ICT yang melibatkan senjata tanpa manusia. Antaranya dron dan logistik ketenteraan lain yang dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh.

       

     

    Video: Babak serangan drone dalam filem "Angel Has fallen" (2019)

    5. Penyebaran berita palsu

    Media sosial adalah sumber berita. Keadaan ini membuat sebilangan pengulas media sosial mengatakan bahawa itu bukan lagi sumber alternatif untuk berita, tetapi sumber utama bagi beberapa orang. Namun, berita di media sosial cenderung kepada berita palsu kerana fakta yang dipaparkan tidak menjalani prosedur kewartawanan dan pemeliharaan gerbang media arus perdana atau konvensional. Berita palsu telah menjadi duri dalam daging terutama masyarakat awam dan juga pemerintah. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak pernah menyatakan kebimbangannya mengenai bahaya berita palsu dan meminta tindakan untuk mengatasi keadaan itu (Raja Hisyam, 2017).

    Antara lain, terdapat juga rintihan menjelang dan setelah pilihan raya presiden AS pada tahun 2016, jumlah berita palsu meningkat dan media sosial seperti Facebook menyekat maklumat deep fake untuk mengelak masalah manipulasi daripada pihak tertentu.

    Hal ini memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana ramai yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu. Justeru, adab dan etika yang betul perlu dipatuhi dalam menggunakan kemudahan ICT ini.

     

     

    Video: How Deep Fakes are Made.

    7.8 KESIMPULAN

    Pembinaan kesepaduan nasional sekali gus ‘peradaban majmuk’ Malaysia sangat dipengaruhi oleh perkembangan ICT yang terjelma dalam bentuk Internet, Digital Apps, Facebook, Instagram dan berbagai-bagai lagi tapak digital. Ia telah menular dalam setiap lapisan masyarakat dan membentuk warga digital (digital citizenship), termasuk di Malaysia. Dari satu segi, ICT merapatkan jurang komunikasi, namun tiada satu institusi sejagat yang mengawal perkembangan ini, menjadikannya seperti digital jungle. Serentak itu, ICT juga boleh jadi kawan atau lawan, positif atau negatif, membina atau menghancurkan. Dengan berleluasanya fake news melalui media sosial seperti Facebook adalah satu contoh yang sangat dirisaukan oleh kerajaan dan orang awam. Kefahaman mengenai etika dalam penggunaan ICT yang tidak bercanggah dengan peradaban di Malaysia sangat diperlukan oleh semua pihak. Kupasan mengenai pros & cons mengenai ICT, budaya digital dan disiplin dalam kalangan pengguna ICT perlu diwacanakan.

    Ringkasnya, ICT merupakan realiti kehidupan masa kini dan masa hadapan. Secara optimis, ia mampu digerakkan untuk menjadi agen kebaikan terbaik. Oleh kerana ICT sering kali disalah guna untuk kepentingan peribadi, organisasi dan politik di seluruh dunia, ia perlu dikuasai secara bijaksana bertepatan dengan tuntutan hidup beragama dan beretika. ICT perlu dipelajari, diurus dan dimanfaatkan untuk kebaikan manusia dengan penuh beretika demi kelestarian peradaban manusia masa hadapan khususnya di Malaysia.


    Ikon soalan penghayatan

      1. Kongsikan pengalaman baik dan buruk anda berkenaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
      2. Pada pendapat anda, adakah perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi / Teknologi Digital akan menggantikan manusia dalam pelbagai sektor? Bincangkan kesannya.
      3. Bagaimanakah anda menjaga privasi dan kesihatan mental anda sewaktu berurusan melalui media sosial?
      4. Teknologi Maklumat dan Komunikasi membolehkan kita bekerja atau belajar daripada rumah. Kongsikan kebaikan dan keburukan. Apakah pendapat anda tentang perkara ini?


    RUJUKAN

    Ali Salman, Er Ah Choy, Wan Amizah Wan Mahmud & Roslina Abdul Latif. (2013). Tracing the Diffusion of Internet in Malaysia: Then and Now, Asian Social Science, 9(6): 1-15.

    Ali Salman. (2019, Julai 16). Tabayyun Bendung Maklumat Negatif. My METRO,https://www.hmetro.com.my/ ;addin/2019/07/475915/tabayyun-bendung-maklumat-negatif. HWB5IBBDExLjGYAQCgAQGqAQdnd3Mtd2l6yAEIwA EB&sclient=gws- iz&ved=0ahUKEwjs6fHwstTvAhXBme YKHTHLDVMQ4dUDCA0&uact=5, diambil pada 29 Mac 2021.

    Amin, R.I. (2018, August 29). UMP Hasil Inovasi Pupuk Perpaduan Etnik, Patriotisme. https://www.bharian.com.my/berita/ ;pendidikan/2018/08/467835/ump-hasil-inovasi-pupukperpaduan-etnik-patriotisme, diambil pada 28 Februari 2021.

    Unknown. (2019). Angel Has Fallen (Bomb Drones Attack Scene), https://www.youtube.com/ watch?v= QiAyTbeBkIg

    Unknown. (2019). Eye in the Sky https:// www. youtube.com/watch?v=lY2EBKuLzW8.

    Ariff, I., & Goh, C. C. (1998). Multimedia Super Corridor. Kuala Lumpur: Leeds.

    Greenlaw, R. & Hepp, E. (2002). In-line/On-line: Fundamentals of the Internet and the World Wide Web. United States: McGraw Hill, h. 102.

    Jacob, W. (2020, January 8). How Deepfake Videos Are Made, https://

    , diambil pada 21 Mac 2021.

    Mohd Juzaiddin, A.Z. (2003), Pengaturcaraan Visual dan Web, COMP 2035. Kuala Lumpur: Open University Malaysia, h. 198.

    Multimedia Super Corridor. (2003). About MSC – The Multimedia Super Corridor, http://www.msc.com.my/msc/msc.asp.

    Nor Azah, A.A. (2009). Internet, Laman Web Pornografi dan Kaedah Psikospiritual Islam dalam Menangani Keruntuhan Akhlak Remaja Pelayar Laman Web Pornografi, Jurnal Usuluddin, bil 29: 147-16.

    Panji, P. (2020, September 14). Apa itu Technophobia? https://dgtlz.com/apa-itu-technophobia/, diambil pada 28 Februari 2021.

    Raja Hisyam, R.Z. (2017, Mei 8). Jangan Tertipu dengan Berita Palsu - PM Najib, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-tertipu-dengan-berita-palsu-pm-najib-141949, diambil pada 21 Mac, 2021.

    • View
TOPIK 6: Perlembagaan PersekutuanTOPIK 8: Peranan Etika dan Peradaban Mendokong Tanggungjawab Sosial di Malaysia